Laman

Selasa, 22 Mei 2012

KEISTIMEWAAN BULAN ZULHIJAH


APA KEISTIMEWAAN YANG ADA DALAM BULAN ZULHIJAH??
 
PUASA ARAFAH ialah berpuasa pada 9 Zulhijah, yaitu berpuasa sehari sebelum melakukan Raya Aidiladha. Walau bagaimanapun, mereka yang sedang menunaikan fardhu haji tidak digalakkan berpuasa.
 
Dinamakan demikian ialah kerana ketika itu para jamaah haji sedang melakukan wukuf di Arafah. Ada pendapat menyatakan bahawa hari tersebut dinamakan Hari Arafah kerana pada hari itu Nabi Ibrahim AS
bermimpi menyembelih anaknya Ismail, yaitu pada malam kelapan Zulhijah. Pada keesokan harinya beliau berfikir, apakah mimpinya itu wahyu Ilahi atau hanya mimpi biasa sahaja.
 
Pada malam berikutnya beliau bermimpi lagi. Dengan itu maka barulah beliau meyakini bahawa mimpi itu adalah wahyu daripada Allah SWT. Oleh sebab itu, pada hari yang kesembilan Zulhijah itu dinamakan "Hari Arafah".
 
Hari Arafah adalah suatu hari besar. Menurut pendapat yang masyhur, pada hari inilah Allah SWT menurunkan ayat al-Quran, yang terakhir kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW. "Pada hari ini AKU telah mencukupkan bagimu agamamu dan AKU telah menyempurnakan untukmu nikmatKU dan AKU rela Islam itu menjadi agamamu." [Al-Maidah : 3]
 
Sesetengah Ulama menyatakan bahawa puasa ini sunat hukumnya bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Mereka yang sedang mengerjakan haji tidak disunatkan berbuat demikian biarpun mereka berupaya mengerjakannya. Ini bertujuan supaya mereka dapat memberi perhatian yang lebih untuk beribadah.
 
Dalam sebuah Hadis lain, dinyatakan bahawa Allah SWT akan mencatatkan pahala ibadah enam puluh tahun bagi orang yang berpuasa pada Hari Arafah, manakala diri orang yang berkenaan termasuk dalam golongan orang yang mentaati Allah SWT.
Dalam setahun terdapat sebanyak tiga tempat yang padanya ada sepuluh hari yang mulia Sepuluh hari dalam bulan Ramadan. Ini kerana di dalamnya terdapat malam Lailatulqadar".
 
Sepuluh hari dalam bulan korban (Zulhijah). Di dalamnya terdapat Hari Arafah dan hari korban. Ketika ini juga ibadah haji dilakukan.
Sepuluh hari bulan Muharam. Dalam bulan ini terdapat beberapa barakah termasuk hari Asyura.
 
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, sesungguhnya ia berkata, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud : "Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan padanya amalan-amalan yang lebih dikasihi oleh Allah daripada hari ini (yaitu hari-hari permulaan Zulhijah dari 1 - 10 haribulan). Para Sahabat bertanya: "Biarpun tanpa jihad jalan Allah?" Baginda menjawab, "Jihad jalan Allah pun tidak, melainkan seseorang yang keluar menyabung nyawanya dan mengorbankan hartanya dan tidak kembali lagi."
 
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas daripada Rasulullah SAW bahawa sesungguhnya baginda ada bersabda yang bermaksud : "Allah SWT mengampunkan Nabi Adam AS pada hari pertama bulan Zulhijah.
 
Allah SWT akan mengampuni dosa mereka yang berpuasa pada hari tersebut. Allah SWT memper kenankan doa Nabi Yunus AS dan mengeluarkannya daripada perut ikan. Allah SWT memberi ganjaran kepada mereka yang berpuasa pada hari tersebut seperti pahala orang yang beribadah selama satu tahun.
 
Pada hari yang ketiga Allah SWT memperkenankan doa Nabi Zakaria AS.
Nabi Isa AS dilahirkan pada hari yang keempat. Allah SWT memberi ganjaran mereka yang berpuasa pada hari ini dengan menghilangkan kesusahan dan kefakirannya.
 
Nabi Musa AS dilahirkan pada hari kelima dalam bulan Zulhijah. Orang yang berpuasa pada hari tersebut akan terhindar daripada sifat munafik dan seksa kubur. Allah SWT membuka kebaikan untuk NabiNya pada hari keenam, manakala pada hari ketujuh Allah SWT menutup pintu Neraka. Pintu ini tidak akan dibuka sehingga hari yang kesepuluh itu berlalu.
 
Hari kelapan dinamakan "Hari Tarwiyah". Mereka yang berpuasa pada hari tersebut akan diberi ganjaran yang tidak diketahui banyaknya kecuali oleh  Allah SWT sendiri. Hari kesembilan dinamakan "Hari Arafah". Dosa
orang yang berpuasa pada hari ini ditebus, juga dosa pada tahun yang berikutnya.
 
Hari kesepuluh ialah "Hari Raya Korban". Barang siapa berkorban dengan satu korban, Allah SWT mengampuni dosa orang yang berbuat demikian."
Selain kelebihan yang disebutkan di atas, hari kesepuluh terakhir daripada bulan Zulhijah juga mempunyai kelebihan seperti yang dijelaskan dalam Hadis berikut, yang bermaksud "Barang siapa berpuasa pada hari akhir Zulhijah, juga pada hari pertama bulan Muharam, maka ia sesungguhnya telah mengakhiri tahun yang lalu dan membuka tirai tahun baru dengan puasa. Allah menebus dosanya selama lima puluh tahun."
 
Jelasnya, Allah SWT menggalakkan hambaNya supaya berpuasa pada hari- hari tertentu pada bulan ini, memperbanyakkan doa, bertaubat dan juga bersedekah. Abu Darda' berkata yang bermaksud : "Hendaklah kamu berpuasa pada sepuluh permulaan bulan Zulhijah dan memperbanyak kan doa juga beristighfar dan bersedekah kerana saya telah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda : "Rugilah orang yang tidak dapat bahagian daripada kebajikan dalam hari-hari kesepuluh, hendaklah kamu bersedia, terutamanya puasa pada hari kesembilan, maka sesungguh nya padanya ada kebaikan yang lebih banyak yang dapat dikira oleh orang yang pandai mengira."
 
Abdullah bin Mas'ud RA berkata, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah telah memilih daripada hari-hari, empat hari, daripada bulan-bulan, empat bulan daripada kalangan wanita, empat orang dan empat orang yang akan mendahului masuk Syurga.
 
Manakala empat orang lain yang dirindui oleh Syurga. Adapun hari-hari itu, yang pertama sekali ialah hari Jumaat, yang dalamnya ada satu saat, tidak ada seorang Islam yang berdoa kepada Allah Ta'ala sesuatu daripada urusan dunia dan akhirat dan bertepatan masanya, kecuali diperkenankan dia oleh Allah.
 
Kedua ialah Hari Arafah, apabila tiba Hari Arafah, Allah berbangga pada MalaikatNya dan berkata : "Wahai MalaikatKu, lihatlah kepada hambaKu, mereka datang dalam keadaan terurai rambut dan berdebu, juga membelanjakan harta dan memenatkan badan, saksikanlah, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka.
 
Ketiga ialah Hari Raya Korban, maka apabila tiba hari korban dan seorang hamba itu menyembelih korbannya, maka titisan darah yang menitis daripada korban itu jadi tebusan bagi setiap dosa yang telah dilakukan oleh hamba tersebut.
 
Keempat ialah hari puasa, maka sekiranya mereka puasa bulan Ramadan dan keluar menunaikan Hari Raya mereka, Allah Ta'ala berkata kepada MalaikatNya : "Sesungguhnya setiap pekerja menuntut upahnya, pada hal hamba-hambaKu telah berpuasa sebulan dan kini mereka keluar menunaikan sembahyang menuntut ganjaran mereka.
 
Saksikan olehmu bahawa Aku telah ampunkan mereka. Ada orang yang berseru (berkata) : "Wahai umat Muhammad, baliklah, maka sesungguhnya telah ditukar kejahatan kamu dengan kebaikan. Adapun bulan-bulan itu ialah bulan Allah, yaitu bulan Rejab dan tiga bulan yang berturut -turut yaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah dan bulan Muharam.
 
Manakala wanita tadi ialah Maryam binti Imran dan Khadijah binti  Khuwailid, yaitu perempuan yang terawal sekali berIman kepada Allah dan RasulNya, juga Asiyyah binti Muzahim isteri Firaun dan Fatimah binti Muhammad wanita terkemuka dalam Syurga.
 
Adapun orang yang mula-mula sekali memeluk Islam ialah Muhammad SAW yang dahulu memeluk Islam daripada kalangan bangsa Arab dan Salman yang mendahulukan orang Farsi dan Suhaib yang mendahului bangsa Rum, juga bilal yang mendahului orang Habshah.
 
Adapun empat orang yang dirindui oleh Syurga ialah Amirul Mukminin Ali bin Abu Talib RA, Salman, Ammar bin Yasir dan Miqdad bin al-Aswad RA."
 
Wallahu ta'ala a'lam.......

Tidak ada komentar:

Posting Komentar